nuff

Tuesday, May 29, 2012

Persediaan menghadapi hari kematian


Assalamualaikum


Apabila seseorang menyebut mengenai persediaan menghadapi hari kematian, banyak cara yang boleh dilakukan. Amalan bersedekah salah satu daripadanya. Seseorang boleh menginsafi dirinya, sentiasa mahu menolong orang dalam kesusahan, hatinya sentiasa dekat dengan kerahmatan Allah.


Harta yang disedekahkan itu mampu membuatkan seseorang mempunyai keimanan kuat dan dengan keimanan itu, mereka mudah untuk mengamalkan segala amalan yang baik dan menjauhi segala ditegah.


Selain itu, sentiasa mengingati mati memantapkan hati supaya hidayah terpelihara. Maut bertandang tanpa dapat dihidu kedatangannya, bila-bila masa dan di mana saja. Bayangkanlah, maut menjengah ketika kita bergelumang maksiat serta iman menjadi reput dengan dosa dan derhaka.


Tiga tingkatan manusia:
Al Munhamik - Golongan diperdaya hawa nafsu
At Taib - Golongan ingat mati, sering taubat
Al 'Arif - Golongan tahu kedudukan diri


Mengingati mati sepatutnya bukan menambahkan kerunsingan jiwa, sebaliknya ibadat menjadi lebih berkualiti dan pergaulan dengan orang lain lebih bermakna serta terpelihara. Apabila ingat mati, kita tawar hati melakukan maksiat, dosa dan berlaku zalim. 


Kita wajib bimbang maut menjemput sebelum sempat bertaubat. Menurut Arbain Muhayat, dalam mengingati kematian, Al Ghazali membahagikan manusia kepada tiga tingkatan iaitu:


Al Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Ia tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Jika diingatkan pula, akan menjauhkannya daripada Tuhan. Orang seperti ini kurang mempersiapkan bekal untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat.


At Taib, iaitu orang yang selalu bertaubat memohon keampunan daripada Allah. Ia banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan di akhirat. Kalaulah tidak menyukai kematian tidak lain kerana mereka khuatir bekalan yang dipersiapkan belum cukup hingga dalam keadaan demikian takut menghadap Allah. 
Al ‘Arif, iaitu orang yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Ia sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana baginya kematian adalah detik pertemuan dengan Allah, Zat yang selama ini dicintai selain memiliki persiapan untuk menghadapi kematian.


Kita sebagai hamba yang mudah lalai menunaikan tanggungjawab kepada Allah. Mana tidaknya, jika dilihat dan diperhatikan dunia yang serba canggih dan berteknologi ini, manusia lebih cenderung memenuhi tuntutan bersifat keduniaan.


Manusia sekarang semakin jauh daripada mendapat kerahmatan Allah dan keredaan-Nya. Alangkah baiknya jika ibu bapa menjadikan ilmu sebagai perkara yang mesti dipelajari oleh anak demi masa depan mereka di dunia dan akhirat.


Justeru, marilah bersama mempersiapkan diri dan bekalan untuk menempuh perjalanan panjang yang tidak akan pernah berakhir di dunia dan akhirat. Penyesalan di akhirat kelak tidak ada gunanya, masa lalu tidak akan kembali, masa yang akan datang pasti terjadi.


Ilmu sebagai pelindung mampu membuatkan seseorang mempertahankan dirinya daripada pelbagai dugaan selagi mana tidak melanggar syariat Islam, mengamalkan segala yang disuruhnya dan meninggalkan maksiat. Sebaik-baik bekalan adalah takwa.


Wassalam

No comments:

Post a Comment

Hak cipta terpelihara cik marie. Nak comment (jika ada), please comment selembut dan seceria bahasa yang mampu.. haha (paksa)

nuffers