nuff

Monday, March 24, 2014

Ibu dalam hidup kita

Assalamualaikum

Apabila aku diminta oleh anakku untuk bercerita tentang ibu ku, aku tidak jemu-jemu mengulangi kisah ini. Kisah aku dengan tiga ibu. Pertama, ibuku sendiri. Kedua, ibu kepada anakku dan ketiga anak perempuanku sebagai ibu. Mereka akan mendengar, akur dan diam. Terkesima. Aku berdoa, semoga cerita itu menginsafkan mereka tentang jasa manusia yang bernama ibu.

Waktu berlalu, aku kembali diminta bercerita tentang kesah itu. Berulang kali. Lalu kuringankan tangan, ku pertajamkan emosi, lalu ku tulis cerita itu: Kesah aku dengan tiga ibu. Aku mulakan dengan kesah pertama:

Aku mengayuh basikal itu laju-laju. Ingin cepat sampai ke destinasi. Masih terngiang-ngiang pesan emak sebentar tadi.

“Apabila bertemu misi sahaja terus serahkan kad merah itu. Katakan emak sudah sakit kuat,” kata emak lemah. Wajahnya berkerut-kerut menahan kesakitan. Umur ku ketika itu baru 12 tahun. Emak ‘sakit perut’ untuk bersalin.

Ayah ku yang bekerja sebagai seorang buruh telah keluar bekerja sejak awal pagi tadi. Di rumah tinggal aku dan dua orang adik perempuan.

“Emak nak bersalin ke?” tanya ku naif.

Emak tak bercakap banyak. Hanya mengangguk-angguk. Tubuh emak begitu kurus, lemah dan pucat. Aku jadi bimbang.


Tanpa berfikir panjang aku terus meminjam basikal jiran sebelah. Kebetulan tidak ada siapa orang lelaki yang boleh diharap kecuali aku. Kedua pak cik jiran sebelah menyebelah juga telah keluar bekerja. Klinik kesihatan yang juga pusat kesihatan daerah kami agak jauh. Tetapi pada tengah hari itu semuanya seolah hampir. Aku mengayuh basikal begitu laju dan cepat. Letih tidak terasa walaupun keringat membasahi muka.  

“Misi, emak saya nak bersalin. Ini kadnya,” kata ku tercungap-cungap sambil menyerahkan  kad tersebut. Misi itu, seorang perempuan Cina berusia lewat 40’an agak terkejut. Namun kemudian membelek dan melihat kad itu secara terperinci.

“Aiya, saya tak boleh jadi bidan emak lu. Dia punya darah dan jantung ada sikit “problem”. Saya tak boleh…”

“Habis macam mana?” tanya ku agak cemas.

“Lu call ambulan. Minta dia datang rumah lu!”

Aku panik. Dalam usia 12 tahun, manalah aku pandai menelefon. Ini cerita 40 tahun dahulu, ketika kemudahan telekomunikasi tidak seperti hari ini. Sekarang anak-anak sudah pandai mendail telefon bimbit seawal usia 6 atau 7 tahun lagi. Sedangkan pada ketika itu hanyalah seorang budak kampung yang naif. Mana hendak dicari telefon awam.

“Misi boleh tolong tak?” aku merayu.

Misi terdiam. Tak lama kemudian dia bersuara, “minta tolong call ambulan? Ya, ya. Lu tulis alamat rumah di sini,” katanya sambil menyerahkan satu carikan kertas. Syukur, walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi misi ini baik orangnya.

Selepas dia menelefon, aku berkejar balik ke rumah semula. Setiba ku di sana, sebuah kereta wagon ambulan telah sedia menanti.

“Boleh saya ikut?” pinta ku seakan-akan merayu kepada pemandu ambulan berbangsa India yang bermisai tebal itu.

“Tak boleh. Lu masih budak-budak lagi. Emak lu kena terus ke hospital!”

Aku sungguh kecewa.

Tidak lama kemudian, emak kelihatan turun dari tangga rumah kayu kami terhincut-hincut. Emak sempat merenung ku dan berpesan, “ emak dah masak nasi. Tapi tak ada lauk, tengok-tengokkan makan adik-adik ya?”

Aku mengangguk patuh. Dalam keadaan biasa pun itu memang sudah menjadi sebahagian rutin ku. Memasak dan menyediakan makanan memang tugas yang selalu emak amanahkan kepada ku.

Ya, semua itu masih segar dalam ingatan. Bagaimana gementarnya aku menunggu berita daripada emak. Malam, baru bapa pulang memberitahu yang emak telah bersalin. Aku begitu gembira… dapat adik baru!

Itulah kesah pertama. Betapa gementarnya seorang anak lelaki ketika ‘menguruskan’ ibunya yang hendak bersalin. Jika dahulu semuanya kulalui dengan sukar dan gementar tetapi kini ketika kurenung wajah emak dan adik yang lahir itu, aku rasa puas… syukur ya Allah kerana aku dapat berkongsi sukar seorang ibu ketika melahirkan.

Mari kita berkongsi kisah kedua. Kisah aku dengan isteri,  ibu kepada anakku. Begini kisahnya…

Saat itu, isteri ku berada di dalam bilik kecil di rumah mertua ku. Dia sedang bertarung dengan kesakitan. Sekali-sekala terdengar suaranya mengeluh lemah, “ Allah, Allah, Allah…” Tiba-tiba Mak bidan keluar diiringi oleh ibu mertua ku. Mereka berbincang sekejap. Aku memerhatikan sahaja dari jauh. Apa halnya? Hati ku tertanya-tanya.

Sejak subuh tadi isteri ku mengaduh sakit perut. Mula-mula sakitnya datang berselang-seli. Jarang-jarang, kemudian semakin kerap. Apabila “air ketuban” telah pecah, ibu mertua ku dengan segera menyuruh aku memanggil bidan berhampiran.

“Mak Cik, isteri saya nak bersalin,” kata ku sebaik sahaja memberi salam kepada orang tua itu. Dia begitu tua. Agak-agaknya telah berusia lewat 60’an. Tetapi dia sahaja harapan orang kawasan itu untuk membidani wanita yang bersalin.

“Bila sakitnya?” tanya bidan tua itu tenang. Begitu selamba, seakan-akan tidak dapat dijangkaunya gelora rasa dalam hatiku, seorang suami muda yang menanti kelahiran anak pertama. Perlahan-lahan, dia bergerak. Wajahnya yang cerah berseri, pakaiannya bersih serta mulutnya kumat-kamit berzikir. (Kemudian aku baru tahu rupa-rupanya bidan tua ini sedang berpuasa 6)… Ya bulan itu, bulan Syawal 28 tahun yang lalu.

Tidak sabar, aku terus mendekati ibu mertua ku.

“Kenapa emak?”

“Isteri kamu ada masalah. Budak tak mahu keluar. Bidan kata dia takut budak kelemasan…”

“Jadi?”

“Kita bawa ke klinik atau hospital dengan cepat.”

Yang terbayang di ruang fikiran ku hanya wajah isteri. Berkali-kali dia telah berpesan hendak “dibidankan” oleh bidan atau doktor wanita. Dia tidak mahu berbidankan doktor lelaki. Aku mesti menunaikan permintaannya. Aku mesti bertanggung-jawab.

“Kita cari klinik yang ada bidan wanita saja ya?” rayu ku kepada ibu mertua ku. Begitu ringan mulut ku meminta persetujuannya walaupun dalam tangan ku wang yang ada begitu sedikit. Aku tekad sahaja, kalau terpaksa berhutang. Aku akan berhutang. Semuanya ku terima seadanya kerana aku masih siswa yang menuntut di sebuah IPTA. Namun, untuk mempertaruhkan maruah isteri tidak sama sekali.

Dahulu, bukan senang untuk mendapat suasana Islamik di hospital-hospital biasa. Tetapi sekarang, syukurlah, keadaan sudah berubah. Doktor, jururawat dan bidan perempuan sudah ramai. Hasil kesedaran Islam rawatan dan perbidanan di hospital kerjaan pun sudah semakin Islamik, apalagi pusat rawatan Islam.

Bila teksi yang dipanggil datang, isteri, ibu mertua dan bidan tua itu pun segera masuk. Aku duduk di hadapan di sebelah pemandu teksi. Destinasinya? Sebuah klinik bersalin milik seorang perempuan Cina. Semuanya mengikut hasil perbincangan ibu mertua ku dengan bidan tua. Bidan tua itu “berkeras” untuk terus mengikut kerana hendak menjaga “suasana” bersalin secara Islam buat isteri ku. Dalam keadaan tubuh tuanya terketar-ketar aku masih dapat melihat semangatnya begitu kental. Kalau ikutkan lemah, elok dia berehat sahaja di rumah dan minta bidan berbangsa Cina itu sahaja mengambil alih.

Setelah berhempas pulas dengan teriak raung, zikir  dan rintihan, akhirnya terdengar suara tangisan. Begitu kuat, hingga mengejutkan aku di ruang legar klinik yang begitu sempit. Aku hanya mampu pasrah dan bermunajat di atas kerusi usang klinik yang serba daif itu. Tidak lama bidan tua itu pun melambai-lambai tangannya kepada ku.

“Alhamdulillah, anak kamu perempuan, cepat azankan…” katanya sambil tersenyum. Aku terlampau gembira hingga terasa ingin memeluknya. Tidak lama selepas aku selesai melaungkan azan dan berdoa, aku melihat bidan tua itu menjamah sedikit makanan dan meneguk air sejuk. Dia berbuka dan berjaya menamatkan puasa sunatnya dengan begitu tenang sekali.

Ku lihat wajah isteri tersenyum puas di sisi anak yang masih merah hasil “perjuangannya” sejak awal pagi itu. Tanpa disedari air mata mengalir. Sedih bercampur gembira, syukur wahai Tuhan, anak ku selamat dilahirkan walaupun dalam keadaan kami yang serba kekurangan.  Aku begitu gembira… dapat anak sulung!

Sesungguhnya, pengalaman itu mengajar aku bahawa sebesar mana pun pengorbanan suami, tidaklah sebesar dan setinggi pengorbanan isteri. Suami hanya berdoa dan berusaha ‘di tepi’ gelanggang, tetapi isterilah yang bertarung nyawa di dalam gelanggang. Ya, aku relakan duhai anak, sekiranya ketaatan dan kebaikan mu tiga kali kepada ibumu berbanding aku. Dia layak untuk dimuliakan kerana dengan izin Allah, dialah yang melahirkan!

Kini, tiba masanya untuk aku ceritakan kisah terakhir. Ingin aku kongsikan, rasa yang ku alami ketika menunggu detik kelahiran itu. Anak perempuan ku mula sakit pada malamnya dan melalui saat-saat cemas mula jam 7 pada paginya. Tuhan memberi mehnah seorang ibu kepadanya. Rasa sakit, rasa perit dan keletihan tahap tinggi, yang bakal menempa dan “mengeluarkan” segala keupayaannya untuk menjadi seorang ibu terbaik. Kesakitan yang hakikatnya satu “ijazah” yang melayakkan seorang ibu mendapat kebaikan  tiga kali ganda berbanding ayah.

Siapa lagi di sisi? Genggaman tangan seorang suami walau seerat mana tidak akan dapat bersama-sama berkongsi kesakitan. Ibu kepada bakal ibu (isteri ku), mengambil jarak jauh, berdoa, menangis dan merintih di luar kamar. Ketika pertarungan hidup dan mati itu… tidak ada teman, tidak ada sesiapa dapat berkongsi rasa, hanya dia dan Allah.

Rasai, rasailah wahai anak ku, detik melahirkan yang persis detik kematian… rasa ‘raja’ (harap) yang sewajarnya seratus peratus kepada Tuhan. Seharusnya tidak ada lagi rasa bimbang, bolak-baliknya hati…selamat atau tidak, pengakhiran buruk atau baik. Yakin, sangka baik, insya-Allah selamat, insya-Allah baik!

Ya, aku di mana? Aku pun rupanya tidak tega menunggu begitu. Mendengar seru dan desah resah, Allah, Allah, Allah. Jua kata semangat dan lonjak dorongan daripada para jururawat dan doktor. Lalu apa pilihan lagi buat aku selain meminggir sepi di satu sudut yang paling sunyi.  Ya, aku masih ingat lagi detik itu. Detik aku terperosok dalam bilik sempit yang dinamakan “surau” kecil itu.

Di situ seolah-olah tegaknya kamar sufi tempat ego dan takbur tersembam ke bumi. Ketika insan dipagut keresahan, kegelisahan dan ketidaktentuan, barulah semua berpaut kepada Allah. Lalu, aku merasakan saat resah ini hakikatnya satu anugerah, untuk aku kembali semula kepada Mu, ya Allah.

Ya, Allah… pengharapan ku pada mu terlalu tinggi. Tetapi aku sedar, aku berdosa. Terlalu banyak kesalahan dan kekhilafan ku kepada Mu. Namun mampukah aku berpaling dari Mu? Tidak, walau dosa ku setinggi gunung, tetapi pengampunan Mu jauh lebih tinggi. Lebih tinggi dari langit yang tujuh. Telah aku ungkapkan kata-kata itu melalui lirik-lirik nasyid yang ku tuliskan, namun seakan-akan baru kini aku merasakan. Aku kembali, aku kembali kepada Mu Tuhan…

Jam 11 pagi, tiba-tiba pintu surau kecil itu terkuak. Anak bongsu lelaki ku memberi salam dan berbisik, “kakak dah selamat bersalin!” Derai air mata ku tidak dapat ditahan lagi. Syukur, syukur, syukur ya Allah, Engkau masih sayang kepada ku, pada kami, pada semua insan yang terlalu banyak berdosa ini. Dalam sujud syukur ku di hujung duha, aku terdengar raungan tangis cucu yang pertama. Alhamdulillah, lahir cucu ku yang pertama!

Demikian ku kesahkan segalanya. Aku pasti, kamu dan kita semua ada kisah masing-masing. Yang unik dan istimewa tentunya. Ku tulis segala hanya untuk mengingatkan betapa besarnya jasa ibu kita. Ku tulis ‘aku’ hanya untuk mendekatkan rasa. Namun aku percaya ‘aku’mu begitu jua. Kisah, ibu yang melahirkan ibu, melahirkan ibu… dan seterusnya.

Tiga jasa ibu yang tidak mungkin ditandingi oleh seorang bapa – pertama, mengandungkan, kedua melahirkan dan yang ketiga menyusukan. Ketika berat hati kita untuk membalas jasa dan mendoakan ibu… kenangkanlah, betapa satu ketika kita telah berhutang nyawa kepadanya. Tidak kira betapa besar dan tingginya jasa kita, namun kita adalah insan yang hina jika melupakan jasa ibu!

Wassalam

Saturday, February 15, 2014

Thursday, January 30, 2014

Keperibadian Rasulullah

Assalamualaikum

Perutusan Rasulullah SAW sebagai menyambung tradisi perjuangan Nabi dan Rasul terdahulu menegakkan kalimah Allah SWT seterusnya mengakhiri salasilah kerasulan yang memikul amanah menyampaikan risalah Islam kepada sekalian alam. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbia, ayat 107) 

Islam yang diutuskan Allah SWT melalui Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin manusia menyelesaikan segala masalah yang melanda serta menjadi penawar semua penyakit kehidupan”

Rasulullah SAW juga dikurniakan kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat manusia menelusuri titian hidup penuh cabaran.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul penting dengan harapan untuk menebalkan kecintaan kepada Baginda SAW. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan paling dicintai memandangkan Baginda insan contoh atau manusia mithali dalam serba serbinya.

Umat Islam diperintahkan Allah SWT supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah SAW selaras dengan firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Menyatakan kecintaan kepada Rasulullah SAW, ia tidak cukup sekadar dizahirkan melalui kata-kata pujian dan sambutan, tetapi akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan dengan meneladani sirah Baginda sebagai pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa dan manusia biasa.

Pendek kata, Rasulullah SAW memiliki banyak dimensi dan sudut patut dicontohi umat Islam sejagat. Disebabkan itu, sirah serta sunnah Baginda tetap relevan kepada umat Islam dari dulu, kini dan selamanya.

Kehidupan Rasulullah SAW menyediakan jawapan ampuh yang berupaya memecahkan segala persoalan dan masalah dihadapi manusia moden dewasa ini kerana ia sebenarnya manifestasi menyeluruh dari inti pati al-Quran.

Saidatina Aisyah apabila ditanya mengenai akhlak Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya akhlak Rasulullah SAW adalah akhlak al-Quran.” (Riwayat Muslim) 

Dunia kini sedang menyaksikan ramai umat manusia semakin tersasar daripada landasan yang lurus. Natijahnya, ramai manusia tertipu dengan godaan dunia yang mempesona, indeks keruntuhan akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup mulai pupus.

Dalam erti kata lain, hidup ini seolah-olah ketiadaan bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi penyakit jiwa serta hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan. 

Sebenarnya konsep untuk manusia hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran, tetapi diingkari.

Islam yang diutuskan Allah SWT melalui Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang mampu menjamin manusia menyelesaikan segala masalah yang melanda serta menjadi penawar semua penyakit kehidupan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57) 

Al-Quran juga adalah hidayah petunjuk ke jalan diredai Allah yang memimpin manusia mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Al-Quran secara khusus menjadi sinaran rahmat yang menyuluhi setiap detik kehidupan orang yang beriman.

Ini adalah seruan suci Allah SWT kepada umat manusia supaya mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat dengan syarat berpegang teguh dengan ajaran dan hukum hakam yang telah ditetapkan-Nya. 

Risalah Islam diturunkan sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh buat mengatur kehidupan manusia sejagat ke arah kebahagiaan abadi di bawah keredaan Ilahi. Ini bermakna jalan keluar sudah sedia ada, penawar di depan mata, maka terserahlah kepada umat manusia memilih sama ada hendak hidup berbahagia atau sebaliknya.

Akhirnya, umat Islam wajib bermuhasabah dan merenungi diri nasib mereka yang sudah sekian lama tercalar. Maka, inilah masanya untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, mudah-mudahan dapat memartabatkan kembali imej sebagai umat terbaik dan umat contoh.

Setiap Muslim seharusnya bersama mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam setiap aspek supaya keadilan Islam dapat menghiasi kembali kemakmuran bumi Allah SWT dan Islam menerajui kepimpinan manusia ke arah keharmonian, kesaksamaan dan kesejahteraan
Wassalam

Thursday, January 16, 2014

No more free water for Selangor residents?

Selangor residents who now enjoy up to 20 cubic metres of free water a month courtesy of the Pakatan Rakyat state government could possibly see an end to the programme thanks to the federal government, a Pakatan lawmaker said today.
Pandan MP Rafizi Ramli (pic) said this was because the Barisan Nasional federal government had said that it will invoke Section 114 of the Water Industry Services Act 2006, which allows them to take over the operations and assets of Selangor's water industry and give it to an administrator of their choice, which in turn can set the price of water.
The federal government is invoking Section 114 in the midst of protracted negotiations with the Selangor government and the four concessionaires that currently manage the supply of treated water for close to eight million residents of Selangor, Kuala Lumpur and Putrajaya.
The negotiations are part of the Pakatan-ruled Selangor government's plans to restructure the water industry, which it claims is being run inefficiently and wastefully by the four concessionaires.
By giving power to set prices and manage the state's water resources to a BN-controlled entity, this could make it far too costly for Pakatan-ruled Selangor to keep giving free water to residents and maintain current water prices for industries.
Rafizi said the use of Section 114 would also derail plans by the Selangor government to restructure the water industry, a plan that was an important part of the Pakatan campaign in Selangor during the 13th general election last year. – January 14, 2014.
From: themalaysianinsider.com

p/s: errrrr...... tgk duit tabung..... 

Penghuni rumah besar tetapi hatinya sempit

Assalamualaikum

Percaya tidak, acap kali apabila harta bertambah, kita seolah-olah rasa bertambah ‘miskin’. Apabila mendapat bonus atau naik gaji misalnya, tiba-tiba semakin banyak yang kita inginkan. Kita merancang untuk membeli kereta baru, menukar perabot baru dan lain-lain. Keinginan kita menjadi semakin besar dan  bertambah.

Akhirnya duit yang bertambah menjadi susut akibat keinginan yang meningkat. Sungguhnya, orang yang miskin, bukan kerana kekurangan harta tetapi mereka yang banyak keinginan! Itulah akibatnya apabila bukan iman yang mengendalikan hidup kita.

Diri kita akan hilang kendali seumpama kereta hilang brek dan tiada kawalan. Kita masih mencari dan terus mencari kemewahan dunia sedangkan usia sebenar semakin singkat dan pertemuan kita dengan Allah semakin dekat. Hati kita tidak pernah kita gilap sebab kita masih ghairah memburu harta yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya. Tidak salah memburu harta… burulah. Namun ingat, itu cuba alat, bukan matlamat.

Berhati-hatilah menjaga hati. Jangan pemburuan yang dahsyat itu sampai menjejaskan kesihatan hati kita. Jika dapat, bersyukur. Jika gagal, bersabar. Jangan sekali-kali, apabila harta bertambah, kita jadi semakin kufur dan takabbur. Jangan juga apabila gagal memilikinya, kita rasa putus asa dan kecewa. Sungguh, kufur, takabbur, putus asa dan kecewa itulah parasit yang akan menghilangkan ketenangan di dunia dan akhirat.

Dalam pengalaman hidup kita tentu pernah melihat penghuni rumah besar tetapi hatinya sempit. Air mukanya muram, mudah marah dan pantang terusik… mudah marah dan melenting. Apabila kita bertamu di rumah, layanannya layu dan kemesraan dibuat-buat. Dia sentiasa memonopoli perbualan. Makan dan minum yang dihidangkan, bukan dari hatinya. Semuanya kaku oleh basa-basi yang dicorakkan adat dan kebiasaan semat-mata. Ironinya, sikaya kehilangan ‘sentuhan kemanusiaan’  di rumahnya yang lapang, akibat jiwanya yang  terhimpit. Namun, lihat  betapa ada simiskin yang begitu ceria melayan kita. Rumahnya sempit tetapi ahli keluarganya mempunyai hati yang lapang. Dengan penuh senyuman, kemesraan dan kasih sayang yang sudah serasi dengan jiwanya itulah dia melayan kita. Dia tidak mengajak orang kagum dengan rumah besar yang tidak dimilikinya, tetapi sebaliknya dia ‘membesarkan’ jiwa   dan hati tetamu yang sedang diraikannya. Di rumah yang kecil, terasa luas apabila penghuninya punya ketenangan.

Jiwa kita akan disapa ketenangan oleh tuan rumah yang punya ketenangan. Dia mungkin tidak punya harta, tetapi kaya ilmu dan akhlak. Sikapnya yang sangat suka memberi menyebabkan kita terhibur. Dia memberi senyuman, nasihat, doa dan kata-kata yang mesra. Sungguh, yang baik akan sentiasa kelihatan cantik!

Betapa kita pernah mendengar keluhan, dulu tangan-tangan sering berjabat salam, solat berjemaah dan zikrullah sentiasa bergetar di dalam rumah yang sederhana tetapi apabila rumah bertambah luas, harta bertambah, perabot sudah bertukar dengan yang mahal-mahal… solat jemaah, bacaan Al Quran dan jabat salam yang dulunya menjadi basahan, kini sudah semakin kurang kedengaran dan segala-galanya menjadi semakin tawar dan longgar. Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW bahaya kaya hati alah kaya sebenar, bukan kaya harta.

Orang yang memiliki hati yang begitu, cukup dengan yang sedikit, pemurah dengan yang banyak. Para sahabat Rasulullah ada yang dipuji kemurahan hatinya walaupun miskin hartanya. Sehingga apabila tetamu datang, dikecilkan cahaya lampu rumahnya agar tetamu dapat makan dengan secukupnya sedangkan dia dan ahli keluarga pura-pura sama memakan makanan yang sedikit itu di dalam cahaya yang samar-samar. Sebaliknya sikaya yang kaya harta tetapi miskin jiwa itu sentiasa rasa tidak puas sehingga tega menindas.

Hartanya sudah lebih dari cukup, tetapi dia terus memeras keringat orang lain untuk menjadi lebih kaya. Jika dia memberi, dia memberi dengan muslihat untuk mendapat lebih banyak. Kalau dulu dia punya masa untuk sahabat dan saudara, tetapi kini dia diburu kesibukan yang tidak sudah-sudah… Dulu harta yang cukup, sekarang hartanya tidak cukup-cukup. Tanpa sedar, sikaya yang sedemikian sedang menyusuri jalan Qarun. Jika Qarun ditenggelamkan dalam Laut Mati… tetapi pengikut-pengikut Qarun akan ditenggelamkan dalam hati yang mati.

Hati yang mati sentiasa diburu kesedihan dan ketakutan. Sedih kerana ditinggalkan saudara, sahabat malah oleh anak-anak dan isteri sendiri. Apa tidaknya, siapa yang suka berdamping dengan orang yang sentiasa sibuk, fikirannya sentiasa di tempat lain dan jiwanya yang sentiasa bimbang dan gelisah? Dunia moden menamakan mereka orang yang produktif, tetapi hakikatnya mereka orang yang sakit! Sungguh, alangkah azabnya punya hati yang sedemikian. Hati yang hilang rasa ingin membantu orang lain, hati yang sukar untuk empati kepada kesusahan orang sekeliling, hati yang sudah hilang nikmat persaudaraan dan persahabatan.

Orang yang cuba menukar kualiti jiwa dengan kuantiti harta pasti menderita. Dari Anas bin Malik r.a diriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda:” Anak Adam yang telah pikun (nyanyuk) dan masih menginginkan dua hal; menginginkan harta dan menginginkan panjang usia.” (riwayat Muslim).

Lihat diri kita dan lihat manusia di sekeliling kita… betapa ramai sahabat, saudara, pemimpin, ahli agama dan ahli keluarga malah diri kita sendiri yang telah berubah apabila harta dan wang semakin bertambah. Marilah kita ingatkan kepada mereka dan kita yang sudah lupa, keinginan terhadap harta adalah dahaga yang tidak pernah sirna.

Wassalam

nuffers