nuff

Tuesday, April 3, 2012

Apa bukti cinta kita

Assalamualaikum
Rasulullah s.a.w perlu sentiasa berada di hati kita. Sebagai umatnya, kita perlu mengingati segala pengorbanan Baginda yang membawa cahaya Islam dan rahmat kepada seluruh alam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi alam.” (Maksud Surah al-Anbiya’ ayat 107)

Jadi, nabi diutuskan Allah kepada umat manusia untuk dijadikan panduan dan ikutan.

Dalam Surah al-Ahzab ayat 21 Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Dalam memperingati serta bukti kecintaan kepada Baginda, jangan sesekali kita lupa mengucapkan selawat ke atasnya.

Imam Bukhari pernah berpesan, “Ketahuilah bahawa selawat ke atas Rasulullah adalah sebagai tanda mencintai Baginda. Orang yang kering lidahnya daripada membaca selawat adalah tanda orang yang tidak cintakan Baginda dan tidak akan memperoleh syafaat Baginda.”

Amalan selawat perlu dijadikan rutin hidup utama. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi, dan 10 kali pada waktu petang setiap hari ia akan beroleh syafaatku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Manakala menurut ulama terkenal, Syibab Ahmad, “Sesiapa berselawat tiga kali selepas selesai solat Subuh, Maghrib dan Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.”

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani al-Hasani Rahimahullah menerusi kitabnya, al-Safinah al-Qadiriyah, katanya terdapat 40 fadilat kepada seseorang yang mengamalkan bacaan selawat.

Antaranya, mendapat keampunan Allah serta ditutup segala keaiban, ditutup perasaan dukacita selain mendapat kurnia makam dekat kepada Rasulullah di akhirat.

Berselawat juga membolehkan segala hajat dan doa permintaan seseorang diperkenankan Allah.

Membaca selawat memberi konotasi bahawa kita menunaikan sebahagian hak Rasulullah ke atas diri sendiri. Ia tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana mengutuskan Rasulullah.

Kita perhatikan bagaimana sesuatu majlis yang akan dilangsungkan pasti pengacara Muslimnya akan memulakan dengan bacaan selawat untuk mengambil keberkatan.

Begitu juga bacaan doa, kita mulakan dengan membaca selawat.

Anas bin Malik, berkata Rasulullah s.a.w pernah berpesan, “Ada tiga perkara yang jika ada dalam diri seseorang itu, ia dapat merasakan kemanisan iman, Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai, mencintai seseorang kerana Allah, dia benci kembali kafir setelah Allah selamatkannya.”

Seorang sahabat nabi, Amru al-As mengatakan, “Tidak seorangpun yang lebih aku cintai selain Rasulullah dan tidak ada yang lebih agung di mataku selain Baginda. Aku tidak mampu memandangnya dengan sepenuhnya kerana mengagungkannya, sehinggakan jika disuruh gambarkan mengenai Baginda, aku tidak mampu berbuat demikian.”

Demikian hebatnya sahabat Rasulullah mencintai nabi. Kita yang hidup pada zaman selepas Rasulullah hanya mampu mengikuti sunnahnya serta membaca selawat sebagai lambang kasih sayang kepadanya.

Berdasarkan buku ‘Senarai 100 Tokoh Yang Paling Berpengaruh Dalam Sejarah’ tulisan seorang penulis bukan Islam di Barat, Michael H Hart, beliau meletakkan Nabi Muhammad di kedudukan paling atas.

Nabi Muhammad s.a.w dipilih di kedudukan pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia mungkin mengejutkan dan menjadi tanda tanya.

Tetapi, dia berpegang kepada keyakinan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang insan terunggul dalam sejarah yang mencapai kejayaan luar biasa dalam menegakkan syiar agama Islam, ia bukan sesuatu mengejutkan.

Lihatlah sendiri betapa kagumnya orang bukan Islam terhadap Rasulullah dan bagaimana dengan kita yang menjadi umat Baginda?

Wassalam

No comments:

Post a Comment

Hak cipta terpelihara cik marie. Nak comment (jika ada), please comment selembut dan seceria bahasa yang mampu.. haha (paksa)

nuffers