nuff

Tuesday, May 29, 2012

Jiwa kosong jika terlalu mengejar kebendaan


Assalamualaikum


Mengikut kerangka syariat Islam, sesuatu usaha atau amal yang dilakukan manusia ialah untuk mendapat keredaan Allah SWT. Atas kepercayaan dan keyakinan inilah, setiap individu dituntut berusaha memakmurkan sumber alam dengan cekap untuk kesejahteraan masyarakat.


Di samping berusaha memenuhi keperluan diri serta keluarga, keperluan lain yang lebih utama juga tidak boleh diabaikan iaitu masyarakat, negara dan agama.  Berasaskan prinsip ini, setiap usaha dilaksanakan bukan semata-mata mendapatkan kepuasan diri atau dorongan material.


Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia... Surah al-Nisa’ Ayat 114 Justeru, penekanan kepada merit mendapat keredaan Allah SWT lebih memberi keyakinan kepada individu untuk berusaha secara konsisten dan tidak menyalahi norma ditentukan agama. Mereka yang menyeleweng daripada suruhan agama dikenakan azab pedih di akhirat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang yang rugi amal perbuatannya? Orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka mereka sentiasa betul pada apa yang mereka lakukan. Mereka orang yang ingkar akan ayat Tuhan mereka dan pertemuan dengan-Nya; maka gugurlah amal mereka; maka Kami tidak akan memberi timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. Demikianlah balasan mereka ialah Neraka Jahanam, disebabkan mereka ingkar, dan mereka menjadikan ayat-Ku dan Rasul-Ku sebagai ejekan.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-106)


Dua asas penting iaitu niat bersih dan ikhlas kepada Allah dan kedua, takwa melakukan amal salih.Ternyata niat neraca timbangan yang bertindak balas dengan amal perbuatan manusia sama ada menghasilkan kebaikan atau sebaliknya. 


Pemahaman ini bersandarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Dari Umar bin Khatab, katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka sesiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari) 


Islam meletakkan keredaan Ilahi sebahagian daripada prinsipnya bertujuan memelihara tingkah laku manusia daripada bertindak menyalahi matlamat yang sudah ditentukan Islam. Setiap tindak tanduk perlu terarah dan fokus untuk mendapatkan rahmat serta keredaan Allah SWT.


Menyedari ketentuan inilah ganjaran diperoleh individu atas usaha dilakukan bukan saja memperoleh keuntungan bersifat material tetapi juga mendapat keuntungan di hari akhirat kelak. 


Firman Allah yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka Kami akan memberi pahala yang besar.” (Surah al-Nisa’, ayat 114)


Justeru, matlamat mencapai keredaan Ilahi ini matlamat bersifat agung dan kudus kerana secara simboliknya ia memberi gambaran pematuhan hamba-Nya secara mutlak kepada Pencipta-Nya Yang Maha Agung.


Meskipun realiti dunia masa kini menuntut manusia mencipta sesuatu nilai yang baru, merebut peluang, proses mencipta, pengagihan faedah, akta kreatif dan sebagainya, tetapi matlamat akhir perlu dicari ialah mendapat keredaan Allah SWT.


Tanpa keredaan Allah SWT, ternyata sukar bagi manusia mendapat kejayaan yang hakiki. Meskipun, usaha dilakukan mungkin memenuhi objektif disasarkan sama ada dalam bentuk pengiktirafan, kepuasan diri, material, namun jiwanya masih lagi kosong dengan petunjuk Ilahi.


Akibatnya, individu itu tidak pernah berpuas hati dengan nikmat diperoleh. Malah, setiap kebaikan yang didapati jarang disyukuri dan sering dilupakan. Kemuncaknya, individu itu tidak membezakan mana hak dan batil, manakala keredaan Ilahi bukan perkara menjadi keutamaan.


Islam sebagai agama menjanjikan kesejahteraan sentiasa menyeru penganutnya berhati-hati dalam sebarang kerja dilakukan kerana setiap amalan akan dihisab dengan seadilnya pada hari akhirat kelak.


Kejayaan dikecapi manusia tidak mempunyai apa-apa makna jika kejayaan itu tidak diraikan dengan rahmat daripada Allah SWT. Keredaan Allah SWT adalah kemuncak kepada pencapaian kebahagiaan dan kejayaan diimpikan manusia.


Wassalam

No comments:

Post a Comment

Hak cipta terpelihara cik marie. Nak comment (jika ada), please comment selembut dan seceria bahasa yang mampu.. haha (paksa)

nuffers